t o k o h   p e n u l i s
 
         
 


DATO’  YUSOF ZAKY YAACOB
1928-1999

Tokoh ini termasuk pengarang, penerjemah dan sekaligus penerbit buku yang sangat dikenal di Malaysia pada paruh kedua abad 20. Karya-karyanya bukan sahaja mengenai agama, tetapi juga merangkumi politik, psikologi, kritik sosial dan malahan genre sastera (puisi dan novel). 

Lahir di Jalan Galah Mati, Kota Bharu pada 13 Jun 1928, Yusof Zaky ialah anak kepada seorang ulama’ Kelantan yang sangat terkenal Tuan Guru Haji  Yaacob Lorong Gajah Mati. Selepas menerima pendidikan awal daripada ayahnya sendiri, beliau belajar di Jami’ Merbau al-Ismaili dengan pada masa-masa senggang, berguru kepada Tuan Guru Haji Saad Kangkong, Haji Ali Pulau Pisang, Maulana Tok Khurasan dan lain-lain. Pada 1949 beliau berangkat ke Mesir - belajar ilmu sosiologi dan psikologi di sebuah universiti yang sangat bergengsi - American University. 

Pulang dari Mesir dengan sebuah cita-cita bulat - menjadi pengarang. Dengan cita-cita ini beliau menubuhkan percetakannya sendiri - Pustaka Dian Press - pada 2 Mac 1957 bagi maksud mencetak dan menerbit sendiri buku-buku karangannya. Pada bulan Julai 1961, beliau menerbitkan majalah Dian, dan kemudiannya pada 1965, majalah Santajiwa

Tulisan-tulisan beliau sangat tajam dan memikat. Selain padat dan berbobot, tulisan beliau juga segar dan indah dengan gaya bahasa dan susunan kata yang menarik. Lihat misalnya siri tulusan beliau di bawah tajuk “Mikroskop Dian” dan siri terjemahan cerpen dunia yang sangat mendapat tempat di hati pembaca pada era 1960 an dan awal 1970 an. 

Puncak kerjayanya dicapai apabila beliau berjaya menerjemahkan secara lengkap karya Sayyid Qutb “Fi Zilal al-Quran” ke dalam bahasa Melayu dengan jodol Di Bawah Naungan al-Quran. Kitab tafsir yang kemudiannya terbit dalam 17 jilid dan yang dikerjakan dengan tekun dalam tempoh 11 tahun ini merupakan antara sumbangan besar beliau dalam bidang persuratan Islam di Malaysia menjelang saat-saat kematiannya pada pagi hari raya Aidil Fitri 1419 (bersamaan 19 Januari 1999). 

Antara karya tulis beliau (asli dan terjemahan) ialah Menuju Revolusi Islam (1953), Psikologi Remaja (1955), Dari Rahim ke Dunia (1957), Falsafah Qiamat (1958), Air Mata Abdi (1958), Mencari Kejernihan Jiwa (1959), Erti Surah al Baqarah Prinsip-Prinsip Ilmu Masyarakat (1959),
Psikologi Kanak-Kanak (1960), Psikologi Takut (1965),Ilmu Jiwa (1970), Langkah-Langkah Menuju Allah (1971), Salah Faham Terhadap Islam (1978), Kamus Nama-Nama Indah (1978), MasaIah Imam Makmum Roh Ibadat Solat (1979), Khulasah Ibadat Haji Seribu Satu Masalah Jiwa Manusia (1986), Batu-Batu Pedoman Perjuagan Islam (1988), Memahami Jiwa Manusia (1996) dan lain-lain. 

Dalam bidang sastera, beliau banyak menterjemah cerpen-cerpen dari tokoh-tokoh penulis timur dan barat untuk majalah Dian dan Santajiwa, di samping beliau juga dikenal sebagai penulis puisi yang berbakat di bawah nama samaran “Saujana”, dan penulis novel sindiran yang tak sempat disiapkan berjudul Komidi Syaitan