| |

DATO'
HAJI MOHD NOR BIN IBRAHIM
1905 - 1987
Salah seorang ulama’ Kelantan yang terkemuka dan dianggap tokoh paling masyhur selepas Tok Kenali. Dilahirkan pada 20hb. Ogos 1905 di Kota Bharu, beliau adalah anak kepada Haji Ibrahim
Yusuff, Mufti Kerajaan Kelantan antara 1928-1941.
Setelah menamatkan persekolahan awalnya di Madrasah Muhammadiah Majlis Agama Islam Kelantan, beliau melanjutkan pelajaran ugamanya di Mekah pada tahun 1923. Bidang ilmu yang beliau pelajari meliputi bukan sahaja ilmu-ilmu agama tradisional seperti
usuluddin, fiqh, hadith dan tafsir, tetapi juga ilmu-ilmu falak dan
qiraat. Guru-guru beliau di Mekah antara lain ialah Tok Senggora, Syeikh Nuh Jamaludin Kelantan, Syeikh Mohd. Nor Patani, Tengku Mahmud Zuhdi
al-Fatani, Chek Pak Ya al-Ramani dan lain-lain.
Jawatan beliau yang pertama selepas pulang ke Kelantan ialah menjadi Qadhi Besar
Kelantan pada tahun 1937. Pernah memangku jawatan Mufti Khas antara 1hb. September 1941 hingga 28hb. Oktober 1944, iaitu sehingga jawatan berkenaan dihapuskan. Antara 1949 hingga pertengahan 1965, beliau menjadi guru di Jami’ Merbau al-Ismail (kemudiannya Maahad
Muhammadi) dan sekaligus mengajar di Masjid Muhammadi. Selang waktu antara pertengahan 1965 hingga April 1968, beliau habiskan di Masjid Negara Kuala Lumpur, berkhidmat di Kelas Tahfiz
al-Qur’an yang baru ditubuhkan sekarang (Dar-al-Qur’an) dan menyusun tafsir pimpinan ar-Rahman yang terkenal itu.
Dilantik menjadi Mufti pada 1hb. Mei 1968 berikutan kematian sahabatnya Dato’ Haji Ahmad
Maher. Jawatan ini beliau sandang sehingga ke akhir hayatnya pada 13hb. Februari 1987.
Lebih dari seorang ulama’, beliau adalah seorang hafiz dan ahli falak yang terkenal, pun juga seorang penulis dan orang alim yang menguasai bahasa Inggeris. Kemasyhuran beliau lebih banyak terserlah dalam bidang-bidang qiraat, falak, tafsir dan usuluddin, ketimbang bidang fiqh sebagaimana layaknya seorang Mufti.
|
|